Tuesday, 9 October 2012

Terima Kasih Ibu



Ibu,
meski dengan hanya sejalur sinar
kau sebar tenaga ke seluruh
jagat raya,
meski dengan hanya seurat kudrat
kau tebar cinta ke segenap umat
bahasamu santun meruntun jiwa
senyumanmu semangat membakar berabad lama.

Ibu,
bumi ini ladang kasih sayang
yang kau mandikan dengan ketulusan,
alam ini taman ilmu
kental dan syahdu
meski dikau tak pernah tahu membaca buku.

Dan sekarang,
tegakmu mengatasi ribuan gedung
menjulang perkasa ikatan keluarga
membina jambatan masyarakat bahagia
menyulam ukhuwah sepelosok dunia
wanginya menjejak syurga.

Ibu,
kautatang sabar ke akar yakin
dari saat mula hingga tiada nokhtahnya
lalu
kujunjung bakti
yang membijaksanakan cekal dan akalku ini.

Sesungguhnya,
tiada daya bagiku ibu
membalas kasih dan pengorbananmu
seperti upayamu kepada kalian anakmu.

Terima kasih, ibu.

Monday, 8 October 2012

Terima Kasih Cikgu

     "Tiada kehidupan yang lebih indah berbanding kehidupan sebagai seorang pelajar".

     Tidak dapat aku mengawal air mata yang mengalir di pipiku. Jalur merah di kedua-dua tapak kakiku bekas dirotan oleh Guru Besar masih jelas kelihatan. Sudah lama kurendamkan kakiku di dalam baldi yang berisi penuh air di tandas sekolah. Namun jalur merah tetap kelihatan. Pedihnya masih terasa. Sakitnya bukan kepalang. Hatiku terus sebak.

     Aku tidak mahu ibu nampak kesan rotanan itu. Jika ibuku tahu, aku pasti akan menerima rotan tambahan pula. Ibuku sentiasa berpegang kepada prinsip guru sentiasa betul. Guru sentiasa benar. Murid tidak boleh melawan guru.

     Aku memang telah lama berasa tidak senang dengan sikap guru kelasku, Cikgu Zainab. Pernah suatu ketika dulu Cikgu Zainab mengoyakkan lukisanku tanpa sebab. Cikgu Zainab tidak tahu pada malam itu aku tidur lewat hanya untuk menyiapkan lukisan itu. Aku suka lukisan, aku suka pada keindahan. Perbuatan Cikgu Zainab mengguris hatiku, perasaanku benar-benar hancur bersama cebisan lukisanku itu. Aku kumpulkan cebisan lukisan itu. Cikgu Zainab marah, aku tidak peduli. Aku mahu cantumkan semula lukisan itu. Itu lukisan aku. Itu titik peluhku. Itulah fikiranku.

     Cikgu Zainab tidak suka padaku. Aku tidak tahu apa sebabnya. Kawan-kawanku di Darjah Tiga kata tulisanku cantik tetapi Cikgu Zainab tak pernah puji. Kawan-kawan semua puji aku cekap membaca, jelas, dan lancar. Cikgu Zainab tidak pernah puji. Cikgu Zainab selalu puji Zaini. Biarpun tulisan Zaini sukar dibaca, biarpun lukisan Zaini tak nampak rupa. Zaini tetap dipuji. Zaini anak sulung Cikgu Zainab.

     Pagi itu seperti pagi-pagi yang lain aku disuruh oleh Cikgu Zainab membawa rakan-rakan yang lain bermain bola di hujung padang semasa waktu senaman. Cikgu Zainab bersarapan bersama Zaini di tepi padang. Cikgu Zainab hanya pandang kami, bukan mengajar kami bersenam. Cikgu Zainab bersarapan. Jika berlaku sesuatu semasa senaman, aku yang kena marah. Pernah dulu rakanku, Najib, jatuh dan luka, aku kena marah sebab tak jaga kawan-kawan.

     Pagi itu apabila wisel ditiup tanda tamat senaman, aku tidak mempedulikannya. Kami terus bermain. Cikgu Zainab meniup wisel berulang kali. Kami teruskan juga permainan.

     Cikgu Zainab mengadu kepada Guru Besar. Akibatnya, kedua-dua tapak kakiku dirotan oleh Guru Besar. Tiada soal jawab, aku terus menerima hukuman. Sakitnya bukan kepalang. Terasa bagai berjalan atas bara api.

     Aku tetap mengucapkan terima kasih kepada Guru Besar kerana itu pesan ibuku. Apapun yang cikgu buat adalah untuk kebaikan. Jangan lawan.

     Pagi esoknya kakiku bengkak. Aku rasa amat berat untuk ke sekolah. Ibu nampak kesan rotanan itu. Aku terpaksa menceritakan keadaan sebenar kepada ibuku. Ibuku marah kerana melawan guru.

     Aku terpaksa ke sekolah. Sebelum pergi ibuku sempat berpesan, "Ucapkan terima kasih kepada cikgu, minta maaf daripada mereka. Biar buruk, biar jahat, dia guru kita. Kita belajar daripada yang berlaku. Kita belajar mengenal diri." Aku akur nasihat ibu. Aku sayang ibu. Aku hormat cikgu.

     Hari ini aku telah menjadi guru, aku faham maksud ibu. Terima kasih ibu, terima kasih cikgu.



                                                                                                         -Mazlan Mohamad


   

Saturday, 6 October 2012

Kesan Rumah Hijau



Kesan rumah hijau ialah pemanasan yang berlaku apabila kepekatan gas-gas rumah hijau di dalam sesuatu ruang tertutup meningkat dan menyekat haba daripada dibebaskan. Ia berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan nitrogen dioksida meningkat melebihi tahap normal.

     Apabila komposisi gas meningkat, molekul-molekul gas ini yang bersifat penyimpan haba, akan memerangkap haba lalu melambatkan proses pembebasan haba. 

     Kesan rumah hijau global berlaku apabila sinaran inframerah matahari yang memasuki ruang atmosfera bumi tidak terpantul secukupnya secara normal disebabkan kesan rumah hijau. Implikasi daripada pemanasan global akan menyebabkan suhu bumi meningkat dan lapisan ais di kedua-dua kutub bumi akan mengalami pencairan dan menyebabkan peningkatan aras laut.

     Secara semula jadi, kesan rumah hijau berpunca daripada letusan gunung berapi yang membebaskan gas-gas sulfur dan karbon. Namun, rumah hijau kebanyakan berpunca daripada pembebasan bahan pencemaran udara seperti asap daripada kenderaan dan kilang. Penggunaan penyembur aerosol, sesetengah peti sejuk dan penghawa dingin yang membebaskan gas kloroflorokarbon (CFC) juga menyumbang kepada kesan pemanasan global ini.

     Jika manusia dapat mengurangkan penggunaan kenderaan dengan lebih banyak menggunakan pengangkutan awam, pembebasan gas rumah hijau dapat dikurangkan.




Lautan Pasifik

      

     Lautan Pasifik merupakan lautan terbesar di dunia yang mana kedalaman lautan tersebut mampu mencecah ratusan kaki pada beberapa tempat. Secara purata, kedalaman Lautan Pasifik adalah sekitar 14,000 kaki dalam.

     Tetapi terdapat suatu tempat yang pernah mencatatkan dua kali ganda kedalaman purata tersebut. Salah satu kawasan yang terkenal dengan kedalaman berbelas ribu kaki tersebut adalah Jurang Mariana yang terletak beberapa ratus batu di barat daya Guam.

     Nama Mariana diambil sempena kepulauan Mariana yang terletak berhampiran dengan jurang tersebut.

     Pertama kali diukur, Jurang Mariana mencatatkan kedalaman sekitar 35,700 kaki. Namun, eksperimen yang dijalankan seterusnya menunjukkan bahawa dasar Jurang Mariana memiliki kedalaman sekurang-kurangnya 36,100 kaki di bawah paras lautan Pasifik dan ia hampir tujuh batu dalam.

     Dalam kajian yang dilakukan, saintis telah melepaskan barangan seberat satu paun turun ke dasar laut di Jurang Mariana dan ia mengambil masa hampir satu jam untuk mencecah dasar.